ROMPIN. 16 Ogos 2022 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin terus komited menyantuni Masyarakat Orang Asli di daerah ini dengan menganjurkan Program Ziarah Dan Ramah Mesra ke Kampung Orang Asli (KOA) Mentelong.

Sebanyak 30 buah keluarga telah diziarahi dalam program kali ini. Kesemua keluarga yang diziarahi berkenaan adalah terdiri dari mereka yang tidak beragama Islam. Meski berlainan agama, budaya, dan kepercayaan, masyarakat disini tetap memberikan sambutan dan layanan yang baik kepada urusetia-urusetia yang bertandang ke perkampungan mereka.

Program ini turut mendapat kerjasama dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Rompin , Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Rompin, Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA) Daerah Rompin, PERKIM Daerah Rompin, serta pihak wakil dari pengurusan Ladang Gugusan Rompin Yayasan Pahang yang meliputi perkampungan Orang Asli berkenaan.

Diharapkan dengan penganjuran program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pihak MUIP Cawangan Daerah Rompin serta agensi-agensi yang terlibat dengan penduduk di KOA ini. Semoga Allah S.W.T mengurniakan Sinar Hidayah-Nya buat penduduk-penduduk di perkampungan ini.