ROMPIN. 27 April 2022 – Pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin telah mengagihkan Bantuan Tahunan Aidilfitri kepada golongan saudara baru daerah Rompin di seluruh perkampungan Orang Asli di daerah Rompin serta di Pejabat MUIP Cawangan Daerah Rompin.

Seramai 166 orang ketua keluarga dan individu saudara baru yang majoritinya terdiri dari kalangan Masyarakat Orang Asli dari suku kaum Jakun, serta sebilangan kecil golongan berkenaan dari pelbagai bangsa dan etnik seperti Cina, India, Kadazan, Iban, Dayak, Rungus dan lain-lain dari seluruh daerah ini telah menerima bantuan berkenaan, yang berjumlah RM 67,400 secara keseluruhan.

Selain dari menerima bantuan, golongan saudara baru daerah ini juga tidak mengabaikan kewajipan mereka untuk menunaikan zakat fitrah bagi diri dan keluarga yang berada di bawah tanggungan mereka, menerusi Amil Zakat Fitrah yang dibawa bersama ketika agihan bantuan dilaksanakan di perkampungan mereka masing-masing.

Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang dihadapi oleh golongan berkenaan untuk menyambut perayaan Aildilfitri yang bakal tiba dan menceriakan mereka, disamping mengeratkan hubungan silaturrahim antara mereka dan agensi-agensi agama di daerah Rompin khususnya, dan masyarakat Islam di daerah Rompin amnya.