MUADZAM SHAH. 07 April 2022 – MUADZAM SHAH, 07 APRIL 2022 – Sebaik sahaja menerima surat dari pihak Hospital Segamat berkenaan sebuah keluarga perlu dibantu, pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Muadzam Shah segera ke rumah tersebut pada hari yang sama.
Pengurus Cawangan Daerah (PCD) bersama Pembantu Operasi MUIP Cawangan Muadzam Shah ke rumah yang dimaksudkan yang terletak di Felda Keratong 1, bagi mengambil maklumat lanjut keadaan keluarga Encik Norisam. Anaknya, Nur Damia, berusia 8 tahun, memerlukan susu khas iaitu susu nutren junior kerana tidak mampu makan seperti biasa.
Kos untuk membeli susu tersebut agak tinggi selain pampers yang juga merupakan keperluan untuk anaknya itu. Setelah diteliti, pihak MUIP bersedia untuk menanggung kos pembelian susu dan pampers anaknya dengan menyalurkan zakat berupa baucer pembelian barang di Pasaraya Darul Makmur secara bulanan dan wang tunai RM2,000.00.
Diharapkan dengan bantuan zakat ini dapat meringankan beban mereka, serta didoakan semoga anaknya dikurniakan kesembuhan dan mereka sekeluarga tabah dalam mengharungi ujian yang hebat ini. Sesungguhnya setiap yang berlaku, ada hikmahnya.