TEMERLOH. 29 Mac 2019 – Sebanyak 30 keluarga telah diziarahi dalam Program Jejak Asnaf di Mukim Kerdau awal hari ini. Program anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Cawangan Daerah Temerloh ini turut disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat Temerloh dan mendapat kerjasama oleh penghulu dan ketua kampung dalam mukim tersebut. Antara kampung yang diziarahi dalam Mukim Kerdau tersebut adalah Kampung Desa Murni Kerdau, Kampung Peragap, Kampung Ketam, Kampung Paya Taram, Kampung Kuala Kerdau dan Kampung Guntong Kelibang . Tujuan program ini diadakan bertujuan menjejaki asnaf fakir miskin yang tidak berkemampuan dan terlepas daripada menerima bantuan zakat berikutan tiada maklumat yang diperolehi serta cara memohon bantuan zakat. Dalam program ini juga asnaf yang diziarahi turut menerima sumbangan hamper barang asasi bagi membantu meringankan beban sara hidup mereka. Program yang bermula seawal jam 9.00 pagi ni berakhir pada jam 12.00 tengahari.