CAMERON HIGHLANDS. 23 Mei 2018 bersamaan 7 Ramadan 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang juga selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan mengurniakan sumbangan bantuan Majlis Ugama Islam Pahang kepada 184 penerima bantuan terdiri daripada golongan yang memerlukan. Mereka menerima kurniaan wang tunai berserta hamper keseluruhannya berjumlah RM48,760.00. Turut menerima kurniaan, 90 orang kanak-kanak yang hadir di majlis tersebut.

Majlis pengurniaan sumbangan di perkarangan Masjid Kampung Raja diadakan bersempena keberangkatan baginda bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Kg. Raja dan Berbuka Puasa Bersama-sama penduduk kampung berkenaan.

Hadir sama, YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan dan YH Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain.