ROMPIN. 19 Februari 2018 bersamaan 3 Jamadilakhir 1439H – Majlis Perasmian Masjid Al-Hikmah, Bandar Lama Kuala Rompin disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Mengiringi keberangkatan baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Bersempena dengan majlis tersebut, baginda selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai kepada 200 orang asnaf keseluruhannya berjumlah RM40,000.00. Kurniaan wang tunai turut diberikan kepada 80 kanak-kanak yang hadir.

Baginda bercemar duli berangkat ke daerah ini selama dua hari bersempena dengan program lawatan kerja baginda ke daerah Rompin. Semasa program taklimat di Pejabat Daerah dan Tanah Rompin pada pagi tadi, baginda berkenaan mengurniakan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Pahang berjumlah RM5,200.00 kepada pihak-pihak yang terlibat dalam tragedi menyelamat mangsa hanyut di perairan laut Pulau Tioman yang ditemui selamat di Pulau Jemaja, kepulauan Riau.