ROMPIN. 21 September 2022 – Terima kasih Ustaz, buat program di kampung kami, itulah antara ungkapan yang dituturkan oleh penduduk di Kampung Orang Asli (KOA) Tanam, ketika menerima kunjungan dari Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin yang mengadakan Program Ziarah Mesra dan Tarbiah Muallaf di perkampungan mereka.

Dalam program berkenaan, sebanyak 195 buah keluarga telah diziarahi, melibatkan 180 keluarga yang tidak beragama Islam dan 15 keluarga yang beragama Islam.

Antara pengisian yang dilakukan dalam program kali ini adalah slot Tarbiah Muallaf yang membicarakan tentang asas-asas agama bersama dengan penduduk beragama Islam setempat di Balairaya, serta ziarah ramah mesra dari rumah ke rumah penduduk KOA berkenaan.

Program ini juga turut dijayakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Rompin, Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) JAKIM Daerah Rompin, Guru Briged Dakwah MUIP Daerah Rompin, Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PEPIMA) Daerah Rompin, PERKIM Daerah Rompin, serta beberapa orang sukarelawan.

Diharapkan dengan penganjuran program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pihak MUIP Cawangan Daerah Rompin serta kesemua agensi, pertubuhan, dan sukarelawan yang terlibat dengan penduduk Islam di KOA ini khususnya, serta keseluruhan penduduk di KOA ini amnya.