MUADZAM SHAH. 22 Jun 2022 – MUADZAM SHAH, 22 Jun 2022 – Kegembiraan jelas terpancar di wajah 682 orang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Jaya (SMKMJ) setelah masing-masing menerima wang zakat RM100 setiap seorang dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebentar tadi.
Turut hadir menyaksikan wang yang disampaikan oleh pihak MUIP Cawangan Muadzam Shah itu adalah Guru Penolong Kanan HEP serta beberapa lagi guru yang sama-sama membantu bagi memastikan kelancaran sesi agihan zakat yang berlangsung di dewan sekolah tersebut.
Dengan wang yang diterima oleh pelajar ini, dapatlah mereka menggunakannya untuk keperluan belajar seperti menyelesaikan yuran tertunggak, membeli buku latihan mahupun menggantikan pakaian sekolah yang telah rosak. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada MUIP dan pembayar-pembayar zakat Negeri Pahang di atas agihan zakat yang sangat bermakna ini.
Pihak MUIP mengalu-alukan sebarang permohonan zakat, tidak kiralah permohonan untuk pelajar sekolah seumpama ini, ataupun apa sahaja permohonan yang ingin dipohon selaras dengan kelayakan 8 asnaf yang layak menerima zakat.