ROMPIN. 02 Jun 2022 – Seorang pesakit strok terlantar iaitu Encik Samsuri Bin Saleh, 57, yang kini menetap di Kampung Orang Asli (KOA) Petoh telah menerima bantuan peralatan perubatan berupa sebuah Katil Hospital Tiga Fungsi dari pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di kediamannya.

Beliau yang kini terlantar diuruskan secara sepenuh masa oleh isterinya Puan Mariam Binti Yusop, 65 yang juga merupakan salah seorang saudara baharu KOA berkenaan. Selain dari katil, Encik Samsuri juga memerlukan lampin pakai buang untuk kegunaan harian beliau.

Pasangan itu kini tidak mempunyai sebarang pendapatan dan hanya bergantung sepenuhnya kepada sumbangan dari masyarakat sekeliling. Prihatin dengan penderitaan dan ujian yang ditanggung oleh pasangan berkenaan, pihak MUIP juga telah meluluskan bantuan bulanan kepada Encik Samsuri bagi membantu meringankan bebanan yang dihadapi.

Semoga dengan bantuan-bantuan yang disalurkan sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan membantu pasangan berkenaan meneruskan kehidupan harian mereka. Semoga Allah S.W.T memberikan kesebaran buat pasangan berkenaan serta menggantikan ujian yang menimpa mereka dengan nikmat yang lebih baik.