ROMPIN. 25 Mei 2022 – Seorang pekerja kebun sawit iaitu Encik Mohd Aris Bin Wahab, 49 telah disantuni oleh pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin di kediamannya yang terletak di Kampung Janglau.

Beliau terlibat dengan kemalangan ketika bekerja di sebuah kebun Kelapa Sawit dan beliau telah mengalami kecederaan parah di bahagian usus akibat terkena sabit di bahagian perutnya. Rentetan dari kejadian itu, beliau sehingga kini masih tidak mampu bekerja seperti sediakala menyebabkan beliau tidak lagi mempunyai pendapatan selain masih perlu menjalani rawatan susulan di HTAA Kuantan sehingga kini.

Beliau kini hanya bergantung sepenuhnya kepada Bantuan Am yang diterima dari JKM disamping wang KWSP miliknya bagi menampung kos barangan perubatan beliau seperti beg stoma dan susu khas, disamping perlu menyara diri, isteri yang tidak bekerja kerana menguruskan beliau, dan seorang anak yang sedang bersekolah rendah.

Pihak MUIP telah meluluskan bantuan bulanan kepada beliau bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh beliau sekeluarga. Semoga Allah S.W.T memberikan ketabahan dan kesabaran kepada beliau sekeluarga dalam menghadapi ujian ini dan menggantikan ujian ini dengan rezeki yang lebih baik buat mereka.