ROMPIN. 15 April 2022 – Seorang warga emas pesakit strok terlantar iaitu Encik Abdul Rahim Bin Awang, 74, dari Kampung Tanjung Pahang telah menerima bantuan peralatan perubatan berupa sebuah Katil Hospital Tiga Fungsi yang bernilai RM 2850.00 dari pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di kediamannya.

Akibat penyakit yang dihidapi serta faktor usia, beliau kini tidak lagi mampu untuk bekerja bagi menyara diri dan isteri beliau, dan hanya bergantung sepenuhnya kepada bantuan yang diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sedikit sumbangan bulanan dari anak untuk beliau dan isteri meneruskan kehidupan.

Beliau yang kini diuruskan sepenuhnya oleh isterinya Puan Aini Hayati, 63 sangat memerlukan sebuah Katil Hospital bagi membantu meringankan bebanan isteri beliau bagi menguruskan urusan kehidupan seharian beliau, namun tidak mampu mendapatkan kemudahan peralatan berkenaan akibat kekangan kewangan.

Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan membantu memudahkan isteri Encik Abdul Rahim dalam menguruskan urusan kehidupan seharian suaminya.