ROMPIN. 21 September 2021 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menyerahkan Bantuan Peralatan Perubatan kepada Hospital Rompin dalam satu majlis penyerahan ringkas yang telah diadakan di Hospital berkenaan. Upacara penyerahan Bantuan Peralatan Perubatan berkenaan yang bernilai RM 35,692 secara keseluruhannya telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP (Baitulmal Dan Operasi) , YBrs. Dr. Hj. Asmadi Bin Abdul Rahman kepada Pengarah Hospital Rompin, Dr. Norasmiza Binti Abdul Manaf. Turut hadir dalam upacara berkenaan adalah Pengurus Besar Pahang Medical Centre (PMC), Puan Zuraidah Binti Adnan, serta Pengurus Cawangan MUIP Daerah Rompin, Ustaz Muhammad Nabil Bin Mohamad Fauzi. Dalam ucapan ringkasnya, Dr. Norasmiza menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan dari pihak Hospital Rompin kepada MUIP di atas bantuan yang diberi. Semoga dengan penyerahan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu untuk memperkasakan dan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kesihatan Hospital berkenaan di daerah ini disamping memberikan manfaat buat penduduk setempat yang mendapatkan rawatan di Hospital ini, terutamanya bagi mereka yang hadir dari golongan yang kurang berkemampuan.