ROMPIN. 23 September 2020 – MUIP Cawangan Daerah Rompin, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Rompin, serta Unit Dakwah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah bersama menganjurkan Program Ziarah Dakwah Mesra Prihatin Masyarakat Orang Asli bertempat di Kampung Orang Asli (KOA) Bukit Lepas, Rompin. Dalam Program ini, penduduk KOA Bukit Lepas telah diberi penerangan berhubung dengan Kaedah Sembelihan Haiwan menurut Islam oleh Pegawai dari Unit Dakwah JAIP, agar mereka mendapat gambaran yang lebih jelas berhubung dengan perkara berkenaan. Setelah itu, penduduk KOA Bukit Lepas yang majoritinya tidak beragama Islam diberi peluang untuk mempraktikkan sendiri kaedah sembelihan mengikut cara Islam dengan menyembelih ayam hidup yang disediakan oleh pihak penganjur,sambil dipantau oleh urusetia yang bertugas. Program ini diteruskan lagi dengan acara ziarah dakwah santai dari rumah ke rumah, taska mobile untuk kanak-kanak, sukaneka di sebelah petang, serta diakhiri dengan sesi sembang santai bersama penduduk kampung berkenaan di sebelah malam. Program ini turut mendapat penyertaan dari Guru Briged Dakwah MUIP Rompin, Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) JAKIM, serta Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA) Yayasan Pahang-MUIP. Program ini merupakan inisiatif dari pihak penganjur bagi memperkenalkan dan menunjukkan keindahan ajaran Islam kepada masyarakat Orang Asli di daerah ini. Semoga Allah S.W.T memberikan Hidayah-Nya kepada masyarakat Orang Asli di negara dan negeri ini amnya, dan di daerah ini khususnya.