ROMPIN. 19 Februari 2020 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin telah menganjurkan satu program Taklimat Had Kifayah bertempat di Mukim Endau, Daerah Rompin. Taklimat berkenaan telah disampaikan kepada pimpinan masyarakat setempat seperti Penghulu, Ketua Kampung, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) , Imam Masjid Kariah, serta para Amil Zakat Fitrah MUIP di Mukim berkenaan. Antara pengisian dalam program ini adalah taklimat berkenaan Penggunaan Had Kifayah dalam menentukan Asnaf Fakir dan Miskin, taklimat tentang bantuan-bantuan Zakat yang disediakan oleh Pihak MUIP, serta satu slot khas bersama dengan Pegawai dari Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Daerah Rompin. Program ini telah dihadiri oleh kira-kira 30 orang pimpinan masyarakat dari enam buah kampung di seluruh Mukim Endau. Program ini adalah suatu inisiatif dari pihak MUIP Cawangan Daerah Rompin untuk menjalinkan kerjasama dengan pimpinan masyarakat untuk menjejak asnaf-asnaf yang memerlukan di kawasan masing-masing terutamanya dari golongan fakir dan miskin di samping memastikan segala maklumat berkenaan dengan bantuan zakat yang disediakan oleh pihak MUIP sampai kepada segenap lapisan masyarakat di kawasan masing-masing. Program ini akan diteruskan ke mukim mukim lain di seluruh Daerah Rompin.