PEKAN. 28 Januari 2020 Bersamaan 3 Jamadilakhir 1441H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan zakat berjumlah RM1,440,960.00 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) bagi melaksanakan Program Riadhul Quran Negeri Pahang. Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang mengurniakan sumbangan kepada Pengarah JPNP, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Tajuddin bin Mohd Yunus dalam majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Islam Sultan Haji Ahmad Shah yang turut disaksikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Program Riadhul Quran Negeri Pahang merupakan program bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dalam usaha untuk membantu pelajar dalam masalah penguasaan membaca al-Quran. Data menunjukkan seramai 23,164 orang pelajar sekolah rendah (20.09%) masih tidak boleh membaca al-Quran iaitu ditahap kemahiran membaca iqra’ 1 hingga 3 sahaja, manakala seramai 6,456 pula terdiri daripada pelajar sekolah menengah. Jumlah keseluruhan pelajar adalah seramai 29,620 orang.

Sumbangan bantuan yang diberikan ini untuk tempoh 2 tahun iaitu bermula dari tahun 2020 hingga 2021. Menerusi pelaksanaan program ini akan membantu pelajar sekolah yang terabai dan tercicir daripada kemahiran membaca al-Quran serta membolehkan semua pelajar khatam al-Quran sebelum mereka melangkah ke sekolah menengah.