Minah binti Wahab

Berbekalkan dengan semangat dan pegangan “Kesusahan Hidup Membuatkan Kita Cekal” telah merubah kehidupan penerima zakat bulanan MUIP, Minah binti Wahab daripada seorang yang hidup dalam kesempitan kepada kehidupan yang lebih selesa dan tidak lagi bergantung dengan bantuan orang lain. Bermula daripada seorang yang mengambil upah memproses keropok dengan pendapatan RM10.00 sehari sehingga menjadi seorang pengusaha keropok yang berjaya dan terkenal di daerah Pekan. Pendapatan sebulan kini mencecah RM2,000.00 hingga RM3,000.00 sebulan.

Bagi merubah kehidupannya, beliau telah memulakan perusahaan memproses keropok secara kecil-kecilan dengan meminjam mesin pemotong keropok daripada rakan-rakannya. Namun ketika itu, pendapatannya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun setelah mendapat bantuan peralatan daripada seorang dermawan, LKIM dan bengkel daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, ia telah merubah kehidupan sehingga mampu menghasilkan keropok dalam kuantiti yang banyak dan memperolehi pendapatan yang lebih baik serta mampu berdikari.

Pada masa yang sama, MUIP turut memberikan sokongan terhadap Maklong untuk mengembangkan perniagaannya dengan mengambil tempahan keropok dan ikan kering bagi program – program anjuran MUIP. Disamping itu, Maklong turut dibawa bersama dalam program – program Karnival Usahawan Asnaf anjuran MUIP dan lain – lain agensi. Maklong turut dicalonkan sebagai Ikon Asnaf MUIP pada tahun 2016 dan kisah kejayaan Maklong ini telah didokumentarikan oleh RTM melalui siaran “Ikon Asnaf 2016” yang diterbitkan oleh JAWHAR. Beliau amat berterima kasih kepada MUIP di atas bantuan dan sokongan serta melahirkan hasrat untuk menjadi seorang pembayar zakat satu hari nanti bagi membantu golongan-golongan yang kurang bernasib baik seperti beliau di satu masa dahulu.

PRODUK / PERNIAGAAN

KEROPOK, IKAN MASIN, KEROPOK LEKOR

TELEFON

0111-9460748 / 019-9915141

PREMIS PERNIAGAAN

NO 74, LORONG JENAHAK, PUSAT KOMUNITI BERSEPADU KUALA PAHANG, 26600 PEKAN