PEKAN. 10 Julai 2019 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Pekan dan Cawangan Rompin serta dibantu Jawatankuasa Masjid Kariah Sungai Miang, Pekan bersama-sama mengurus kematian Batin Kampung Orang Asli Sungai Kalong iaitu Allahyarham Mohd Azrin Bin Bakar atau lebih dikenali dengan panggilan Batin Aying. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Daerah Rompin dan telah dimandikan serta dikafankan di hospital diuruskan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Rompin. Seterusnya jenazah dibawa ke Masjid Sungai Miang, Pekan untuk disolatkan dan pengkebumian diuruskan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Pekan dan Jawatankuasa Masjid Sungai Miang. Jenazah telah sempurna dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Miang selepas solat Zohor. Turut hadir bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Pekan, Penggerak Masyarakat Orang Asli Daerah Pekan, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Miang, masyarakat setempat dan masyarakat orang asli Kampung Sungai Kalong.