PEKAN. 15 Julai 2019 – bersamaan 12 Zulkaedah 1440H, Majlis Perasmian Penutupan Mahrajan Amal Islami Muallaf Saringan Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-3 bagi tahun 2019 telah diadakan Hotel Seri Malaysia, Kuantan. Program ini telah berlangsung selama 2 hari bermula 14 Jun 2017 dan berakhir pada hari ini yang disertai oleh 43 orang peserta. Mereka terdiri daripada golongan muallaf asli dan selain asli dari beberapa daerah dalam Negeri Pahang. Antara acara dipertandingkan ialah tilawah Al-Quran, hafazan, Azan dan Iqamah, Amali Solat dan Syarahan Agama. Antara objektif diadakan program ini ialah menilai pengetahuan dan kefahaman muallaf dalam beberapa aspek ajaran islam, memupuk budaya ilmu dalam kalangan muallaf serta mengeratkan persaudaraan di kalangan muallaf pelbagai bangsa dan kaum sekaligus mewujudkan komuniti muallaf yang cinta serta menghayati ajaran Islam yang syumul ini. Program penutupan telah dirasmikan oleh Yang Hormat Dato’ Hairi bin Haji Hussain selaku Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang mewakili Yang Di Hormat Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Dalam ucapan beliau, beliau menyarankan agar program seperti ini perlu diadakan setiap tahun walaupun secara kecil-kecilan supaya dapat mencungkil bakat terpendam di kalangan saudara baharu dari aspek tilawah Al-Quran, hafazan, amali solat dan juga syarahan. Selain itu, beliau menyatakan bahawa yang lebih utama ialah golongan muallaf ini dapat beramal dengan sebaik mungkin dengan elemen keagamaan tersebut. Beliau berharap kepada saudara baharu supaya dapat mempertingkat kemahiran dalam bertarannum dan ilmu tajwid sehingga dapat menguasai ilmu-ilmu tersebut. Beliau juga berharap dengan adanya program seperti ini dapat mengenal pasti kelemahan-kelamahan yang ada pada Muallaf secara tidak langsung. Oleh yang demikian, perlu ada usaha dalam memperkasakan lagi kelas-kelas fardu ain yang dilaksanakan dengan memperbanyakkan lagi kelas-kelas tersebut kepada saudara baharu. Beliau juga berharap para peserta yang terpilih dapat memperbaiki serta berlatih dengan bersungguh-sunguh agar dapat mengharumkan nama negeri Pahang di peringkat yang lebih tinggi. Peserta yang memenangi pertandingan ini akan dibawa ke peringkat kebangsaan yang dijangkakan berlangsung pada 16 hingga 18 Ogos 2019 di Pulau Pinang. Selain itu juga, YDH Dato’ Sri telah menyampaikan sijil penyertaan, wang tunai dan plag kepada para pemenang. Turut hadir, Prof Madya Dr. Haji Zawavi bin Zainal Abidin, Rektor Kolej Universiti Islam Sultan Haji Ahmad Shah (KUIPSAS) serta Yang Hormat Dato’ Haji Ahmad Faizul bin Ghazali, Guru Tarannum Negeri Pahang. Antara Dif-dif jemputan ialah Tuan Haji Nainar bin Sh. Dawood, wakil Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM). Sekalung penghargaan dirakamkan buat semua agensi yang terlibat iaitu Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Cawangan Rompin, Cameron Highlands, Kuantan dan Jerantut, Pusat Pembangunan Masyarakat Asli (PETAMA), Kolej Universiti Islam Sultan Haji Ahmad Shah (KUIPSAS), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pertubuhan Kemajuan Islam Malaysia (PERKIM) dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).