PEKAN. 21 Mac 2019 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Pekan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Pekan, Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Pekan, Penggerak Masyarakat Orang Asli Daerah Pekan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Permatang Pauh dan Guru Briged Dakwah Daerah Pekan telah mengadakan Program Ramah Mesra bersama penduduk di Perkampungan Orang Asli Durian Sebatang. Program bermula 8.30 pagi dan berakhir 6.30 petang itu telah mendapat sambutan menggalakkan daripada warga penduduk dan mendapat kerjasama untuk bersama-sama menjayakan program yang diadakan. Program bermula dengan ziarah mesra rumah ke rumah penduduk dan diteruskan dengan pertandingan sukaneka melibatkan semua peringkat kanak-kanak serta dewasa. Majlis perasmian penutup telah dirasmikan oleh Al-Fadhil Pegawai Agama Islam Daerah Pekan Tuan Haji Ahmad Nizam Bin Abdul Manan dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang acara sukaneka dan cabutan bertuah. Program ini bertujuan mendekati masyarakat orang asli masih belum menganut Agama Islam Islam bagi menerangkan gambaran Agama Islam sebenar dan juga menyantuni mereka-mereka yang telah menganut Agama Islam.