ROMPIN. 25 Mei 2018 bersamaan 9 Ramadan 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan peribadi baginda dan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kepada 120 orang kurang berkemampuan di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat yang diadakan di perkarangan Masjid Kampung Leban Chondong. Penerima sumbangan terdiri daripada asnaf fakir miskin, anak-anak yatim, orang kurang upaya dan ibu tunggal, masing-masing menerima wang tunai RM300 seorang berserta hamper kuih-muih raya.

Semasa bertitah baginda mengingatkan kepada rakyatnya, “Jangan lupa kewajipan membayar zakat di bulan yang mulia ini, marilah kita sama-sama berdoa semoga amal jariah kita mendapat keberkatan di dunia dan akhirat”.

Manakala kehadiran 130 orang kanak-kanak di majlis tersebut turut diraikan dengan pemberian duit yang disampaikan oleh YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan.