PEKAN. 18 Mei 2018 bersamaan 2 Ramadan 1439H – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah juga selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berkenaan bercemar duli berangkat di Kem Force 136, Sungai Miang petang tadi bersempena Majlis Berbuka Puasa bersama-sama anggota-anggota kem serta pengurniaan sumbangan bantuan Ramadan kepada golongan asnaf di kawasan sekitar berhampiran kem.

Mengiringi keberangkatan baginda, Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang, Tengku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Allallah Sultan Iskandar Al-Haj. Seramai 150 asnaf menerimaan kurniaan bantuan wang tunai sumbangan peribadi baginda dan juga bantuan dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

YDH Orang Kaya Indera Pahlawan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan dan YH Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain hadir sama bagi mengiringi baginda menyempurnakan pengurniaan bantuan.