ROMPIN. 18 Januari 2022 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin telah menyantuni seorang mangsa kemalangan di kediamannya yang terletak di Kampung Rantau Panjang. Mangsa berkenaan, Ahmad Suffian Bin Mohd Zaki, 25 mengalami kecederaan teruk apabila mengalami patah tulang pinggul dan pundi kencingnya pecah akibat satu kemalangan jalanraya.

Mangsa yang masih bujang kini dijaga sepenuhnya oleh ibu beliau, Puan Norhayati Binti Ismail, 56 di rumahnya. Puan Norhayati yang sebelum ini bertugas sebagai pekerja pembersihan di Kolej Komuniti Rompin terpaksa melepaskan pekerjaannya demi untuk menumpukan perhatian menjaga mangsa. Mangsa juga kini masih perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan serta Hospital Rompin sekitar 2 hingga 3 kali sebulan bergantung kepada keadaan beliau.

Bantuan yang selayaknya akan diusahakan bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa sekeluarga. Semoga Allah S.W.T memberikan kesembuhan kepada mangsa dan mengurniakan kesabaran kepada mereka sekeluarga di atas ujian yang menimpa.