MUADZAM SHAH. 15 November 2022 – MUADZAM SHAH, 15 NOVEMBER 2022 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini telah mengagihkan sebanyak RM 186,000.00 yang disalurkan kepada Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah di daerah Muadzam Shah dan Rompin.

Agihan zakat ini bertujuan untuk menampung keperluan utama pelajar-pelajar miskin di sekolah-sekolah seperti yuran pendidikan, makan dan minum, keperluan peralatan pembelajaran bilik darjah, pembelian buku latihan dan sebagainya.

Sebanyak 62 buah sekolah yang terdiri daripada Pengetua, Guru Besar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) telah dijemput hadir ke majlis ini yang dilangsungkan di dewan Villea Rompin Resort & Golf.

Antara aturcara yang telah diatur termasuklah taklimat wakalah sekolah oleh Pusat Kutipan Zakat (PKZ) , sesi soal jawab berkaitan kutipan dan agihan zakat, ucapan dari pihak MUIP dan ucapan dari pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta serahan wang tunai RM3,000.00 kepada setiap sekolah.

Semoga dengan bantuan ini, pelajar yang kurang berkemampuan dapat dibantu serta mampu belajar dengan lebih baik lagi tanpa perlu memikirkan masalah kewangan mereka.