ROMPIN. 23 September 2022 – Sebuah Program Ziarah Mesra, Dakwah Bil Hal dan Tarbiah Muallaf telah dianjurkan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin bertempat di Kampung Orang Asli (KOA) Kemendol.

Dalam program yang berlangsung selama dua hari dan mendapat sambutan yang baik dari penduduk KOA berkenaan itu, sebanyak 100 buah keluarga telah diziarahi, melibatkan 20 keluarga yang beragama Islam dan 80 keluarga yang tidak beragama Islam.

Antara pengisian yang diadakan dalam program kali ini adalah slot Tarbiah Muallaf yang membicarakan tentang asas-asas agama bersama dengan penduduk beragama Islam setempat di Balairaya KOA berkenaan, ziarah ramah mesra dari rumah ke rumah setiap penduduk, sukaneka melibatkan kanak-kanak dan golongan dewasa, serta pertandingan Sepaktakraw yang disertai oleh golongan belia setempat.

Program ini juga turut dijayakan oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Rompin, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Rompin, Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) JAKIM Daerah Rompin, Guru Briged Dakwah MUIP Daerah Rompin, Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PEPIMA) Daerah Rompin, PERKIM Daerah Rompin, serta beberapa orang sukarelawan dakwah.

Diharapkan dengan penganjuran program seperti ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pihak MUIP Cawangan Daerah Rompin serta kesemua agensi, pertubuhan, dan sukarelawan yang terlibat dengan penduduk Islam di KOA ini khususnya, serta keseluruhan penduduk di KOA ini amnya.