ROMPIN. 07 Mei 2021 – Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah menyerahkan Bantuan Penyelenggaraan Dan Pembaikan Masjid / Surau sebanyak RM 50,000 kepada Masjid Felda Selendang 1 bagi tujuan membina sebuah bangunan tandas baharu bagi kegunaan para jemaah dan ahli kariah di Masjid berkenaan. Simbolik penyerahan sumbangan kepada Masjid berkenaan telah disempurnakan oleh Pengurus MUIP Cawangan Rompin, Ustaz Muhammad Nabil Bin Mohamad Fauzi kepada Pengerusi Masjid berkenaan. Buat masa ini, Masjid berkenaan hanya mempunyai empat pintu tandas di mana hanya dua pintu diperuntukkan kepada jemaah lelaki manakala dua pintu lagi diperuntukkan kepada jemaah wanita, serta tidak dapat menampung kapasiti jemaah yang hadir terutama ketika melibatkan aktiviti keagamaan seperti Solat Jumaat serta Solat Tarawih. Pembinaan bangunan tandas baharu Masjid berkenaan dijangka akan bermula selepas cuti Hari Raya Aidilfitri nanti. Diharapkan dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberi kemudahan kepada para jemaah dan ahli kariah dalam memakmurkan dan mengimarahkan Masjid berkenaan.