PEKAN. 08 Jun 2018 – bersamaan 23 Ramadhan 1439H. Majlis Penyampaian Sumbangan Duit Raya dan Baju Raya kepada 74 orang pelajar dari Pusat Tamadun Pembangunan Masyarakat Asli (PETAMA) yang telah diadakan di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), Taman Gelora, Kuantan. Majlis ini telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Wan Hassan. Penerima sumbangan tersebut terdiri daripada pelajar lelaki iaitu seramai 34 orang dan pelajar perempuan seramai 40 orang. Pada tahun ini, sumbangan yang diberikan berjumlah RM 25,900.00 berupa wang tunai dan sumbangan baju raya kepada para pelajar. PETAMA merupakan pusat latihan yang melahirkan pendakwah-pendakwah di kalangan masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang. Ia telah ditubuhkan sejak tahun 1998 di bawah seliaan IKIP, anak syarikat Yayasan Pahang, yang kini telah bertukar nama kepada Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP). Dalam ucapan Dato’ Sri, beliau berharap para pelajar dapat mempelajari ilmu dengan bersungguh-sungguh serta menguasai ilmu agama dengan baik. Ini bertujuan supaya mereka dapat menyebarkan ilmu tersebut kepada ahli keluarga dan kaum kerabat. Selain itu, beliau juga menyatakan pentadbiran MUIP telah meluluskan permohonan kebenaran Jumaat di Kampung Orang Asli Penderas, Temerloh dan juga akan memberi kebenaran kepada beberapa kampung lagi yang layak diberikan kebenaran mendirikan solat jumaat. Dalam pertemuan beliau bersama pelajar itu, beliau turut menyerahkan bantuan pendidikan kepada 30 orang pelajar berjumlah RM72,000.00. Harapan YDH Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid terhadap program ini agar dapat meningkatkan prestasi usaha dakwah yang mantap dengan meramaikan lagi golongan muallaf Orang Asli di Pahang khasnya, demi menyebarkan syiar Islam di Malaysia umumnya. Beliau juga sangat mengambil berat dan sentiasa memantau perkembangan aktiviti dakwah di kalangan masyarakat Orang Asli. Setelah tamat pengajian dan latihan mereka di sini, mereka yang beroleh pencapaian yang cemerlang akan dicadangkan namanya oleh pihak PETAMA sebagai Pembantu Penggerak yang berperanan sebagai pelaksana kerja dakwah terhadap masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang.Turut hadir dalam program ini adalah Yang Hormat Dato’ Norhishamuddin bin Yaakob Pengarah urusan (UCYP) merangkap Timbalan Pengurus Yayasan Pahang, Yang Berbahagia Dr. Muhaimin bin Mohamad, Pengurus Multidisciplinary Research & Development Centre Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP).Ustaz Radzi Ahmad, Pengurus PETAMA dan Ustaz Sh. Mohd Firadus Bin Sh. Othman Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Zakat, Unit Dakwah dan Muallaf MUIP.Semoga Sumbangan ini memberi manfaat kepada perlajar khususnya dikalangan saudara muslim Orang asli.