KUANTAN. 4 Mei 2018 bersamaan 18 Syaaban 1439 Hijrah – Kadar zakat fitrah di negeri Pahang bagi tahun 2018M/1439H kekal berjumlah RM7.00 berdasarkan harga beras semasa di negeri ini setelah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. Perkara berkenaan dimaklumkan oleh YDH Orang Kaya Indera Pahlawan Pahang, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan selaku Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang semasa sidang media di Pejabat Dana Wakaf Pahang, di sini hari ini. Kadar tersebut kekal untuk 10 tahun berturut-turut sejak 2009.

“Semua umat Islam di negeri ini hendaklah mengeluarkan zakat fitrah kepada amil yang ditauliahkan di tempat masing-masing bermula daripada awal Ramadan dan selewat-lewatnya sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Pihak Majlis Ugama Islam Pahang telah mentauliahkan seramai 914 orang amil untuk melancarkan urusan kutipan zakat fitrah. Selain itu, sebagai pilihan kepada umat Islam menunaikan zakat fitrah, Majlis Ugama Islam Pahang juga menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara atas talian di http://reports.muip.gov.my/zakatfitrah/

“Bagi yang enggan membayar zakat fitrah boleh disabitkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 40 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000.00 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Manakala sesiapa yang didapati memungut zakat fitrah tanpa diberi kuasa atau dilantik oleh Majlis adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM3,000.00 atau penjara tidak lebih daripada 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

YDH Dato’ Sri Timbalan Yang Dipertua Majlis turut memaklumkan sempena Ramadan tahun ini, Majlis Ugama Islam Pahang memperuntukkan secara keseluruhannya berjumlah RM9,342,450.00 untuk disalurkan bagi tujuan pengimarahan masjid-masjid di negeri Pahang (RM3,280,000.00), bantuan menyambut Aidilfitri asnaf fakir miskin (RM3,510,850.00) dan muallaf (RM2,551,600.00).

Hadir sama, YH Setiausaha Majlis, Dato’ Ahmad Hairi bin Ahmad, YH Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Dato’ Haji Halidan bin Md Daud, Pegawai Zakat Kanan Majlis, YBhg. Tuan Haji Mohd Ali bin Mat Dasir serta pegawai-pegawai Majlis.