PEKAN. 29 Januari 2018 – bersamaan 20 Jamadil awwal 1439H. Telah diadakan Program Ziarah Dakwah dan Pemutihan Pendaftaran Saudara Baharu Orang Asli Pantos, Pos Lanai Kuala Lipis yang telah berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula dari 29 Januari hingga 31 Januari 2018, bertujuan untuk menyelesaikan isu pendaftaran saudara baharu yang masih tiada dalam rekod daftar serta isu penukaran status agama mereka pada kad pengenalan. Selain itu, program ini dianjurkan bagi mengeratkan lagi silaturrahim antara penduduk masyarakat asli dengan pihak jabatan dan badan-badan NGO. Antara aktiviti yang telah dijalankan selama 3 hari ialah ziarah rumah ke rumah, sumbangan hamper, acara sukaneka, taklimat jenayah syariah, kem solat dan taklimat kesihatan. Turut diadakan proses penukaran kad pengenalan yang dikendalikan oleh Jabatan Pendaftaran Negeri. Di samping itu, turut diadakan pemeriksaan dan taklimat kesihatan gigi kepada penduduk setempat. Majlis penutupan telah dirasmikan oleh Yang Dihormat Orang Kaya Indera Pahlawan Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Bin Wan Hassan, Timbalan Yang DiPertua Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) merangkap Pendaftar Muallaf Negeri Pahang. Dalam ucapan beliau, beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada JKK kampung, Batin, penduduk kampung serta semua agensi yang terlibat kerana memberi sokongan padu sepanjang program ini dijalankan. Beliau menyatakan program pemutihan seperti ini akan diperluaskan lagi di seluruh kampung asli yang terdapat di Negeri Pahang. Tambah beliau lagi, beliau juga mempertimbangkan beberapa permohonan daripada JKK kampung seperti keperluan van jenazah, surau kebenaran solat Jumaat dinaik taraf kepada masjid serta menara masjid.Sehubungan itu, YH Dato’ Sri telah menyempurnakan penyerahan replika cek sumbangan karpet surau kebenaran Jumaat berjumlah RM18,200.00 kepada kampung tersebut. Program diserikan lagi dengan upacara syahadah seramai 20 orang Asli yang telah berhasrat untuk kembali kepada agama fitrah yang suci ini. Upacara syahadah diketuai oleh Yang Dihormat Dato’ Sri Timbalan Yang Dipertua MUIP sambil disaksikan oleh Al-Fadhil Qadhi Lipis, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Serta seluruh penduduk Kampung Orang Asli Pantos, Pos Lanai, Kuala Lipis. Turut diadakan penyerahan wang saguhati pemelukan Islam berjumlah RM8,900.00, penyerahan kad pemelukan agama Islam dan kelengkapan ibadah kepada semua peserta syahadah.Turut hadir, wakil Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Pahang, Penolong Pengarah Pengarah Bahagian Dakwah JAIP, Al-Fadhil Qadhi Daerah Kuala Lipis dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pos Lanai, Sekalung penghargaan kepada semua agensi yang terlibat iaitu Majlis Ugama Islam dan Adat Melayu Pahang Cawangan Kuala Lipis, Jabatan Agama Islam Pahang, Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Lipis, Kolej Universiti Islam Sultan Haji Ahmad Shah (KUIPSAS), Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Pejabat Kesihatan Lipis, Klinik Pergigian Lipis, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Lipis, Team Mobile Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Pahang, Sekolah Kebangsaan Pos Lanai, JKK Kampung Orang Asli Pantos, Batin-Batin Kampung berhampiran dan Jabatan Kemajuan Masyarakat Orang Asli (JAKOA).Semoga jasa dan khidmat bakti kalian secara langsung atau tidak langsung mendapat balasan baik di sisi Allah SWT. Ameen.