Kamarul Zaman Bin Yusop

Pendapatan yang tidak menentu sebagai penoreh getah bagi menampung kehidupan untuk menyara anak-anak yang masih bersekolah lantas memaksa Encik Kamarul Zaman melakukan pelbagai pekerjaan bagi menanggung keluarga. Tanpa mengenal penat lelah, beliau tidak melepaskan sebarang peluang pekerjaan yang ada seperti mengambil upah memotong rumput, meracun dan menebas hanya untuk menambah pendapatan seharian beliau.
Walaupun beliau mempunyai kemahiran dalam pertukangan bilah parang dan sarung parang namun terkekang untuk menjadikan kemahirannya sebagai sumber pendapatan hidup kerana tiada modal untuk memulakan perniagaan. Terdorong oleh semangat yang tinggi dan tidak menghiraukan sindiran orang sekeliling yang cuba mematahkan semangatnya, Encik Kamarul Zaman atau lebih selesa dipanggil Akie nekad untuk mengubah kehidupan sebagai penoreh getah kepada tukang parang.
Hasil maklumat daripada rakan-rakan berhubung bantuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang beliau telah memohon bantuan zakat melalui Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Cawangan Raub bagi mendapatkan peralatan menghasilkan bilah parang. Permohonan beliau telah diluluskan sebanyak RM2,000.00 bagi membeli sebuah Grinder 7”, sebuah Grinder 4”, dan sebuah Handsaw.
Dengan bantuan yang telah diberikan oleh pihak MUIP, Akie mula menghasilkan bilah dan sarung parang untuk dijual dan diambil tempahan di sekitar kawasan bandar secara kecil-kecilan. Walaupun tempahan yang diterima agak sedikit pada awalnya namun ia telah membuka peluang untuk Akie menapak dan memperkenalkan hasil tangan beliau kepada orang ramai. Usaha dan kesungguhan beliau akhirnya mendatangkan hasil apabila kerja tangannya mendapat tempat di hati orang ramai terutamanya penggemar parang dan beliau mula menerima banyak tempahan terutamanya penghasilan bilah parang selain sarung parang.
Berpegang kepada prinsip “Buat Apa Yang Kita Minat, Bukan Apa Yang Kita Nak”, Akie telah berjaya meningkatkan pendapatan beliau dari RM 600.00 ke RM 1,500.00 sebulan setelah menerima bantuan daripada pihak MUIP. Ini sekaligus telah membantu memberikan keselesaan kepada kehidupan beliau sekeluarga. Beliau berterima kasih di atas keprihatinan pihak MUIP memberikan bantuan dan berharap agar asnaf-asnaf lain yang berpotensi juga menerima bantuan daripada MUIP dan memanfaatkannya sebaik mungkin.

Bantuan Yang diterima

Grinder 7″, Grinder 4″ & Handsaw bernilai RM2,000.00

produk

Bilah Parang

Alamat

No. 42, Kampung Tersang, Batu Malim, 27610 Raub, Pahang Darul Makmur