ROMPIN. 26 Ogos 2024 – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul mungkin merupakan peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan situasi seorang Encik Mohamad Saiful Bin Nasir, 27 seorang pemuda OKU terlantar dengan penyakit Cerebral Palsy yang dihidapinya sejak lahir.

Beliau ditanggung oleh ibunya yang uzur yang juga merupakan penerima Bantuan Bulanan MUIP iaitu Puan Rossnani Omar, 66. Selain dari Mohamad Saiful, Puan Rossnani juga turut menanggung anak bongsu perempuannya yang tidak dapat bekerja kerana perlu menguruskan Puan Rossnani serta abangnya Mohamad Saiful secara sepenuh masa.

Mohamad Saiful juga memerlukan susu khas disamping lampin pakai buang untuk kegunaan keperluan harian beliau dan ianya memerlukan kos yang tinggi bagi memenuhi keperluan hariannya.

Prihatin dengan keperluan dan ujian yang ditanggung oleh Encik Mohamad Saiful, pihak MUIP telah meluluskan bantuan bulanan kepada beliau. Selain dari itu, pihak MUIP juga telah meluluskan bantuan peralatan perubatan berupa sebuah Katil Hospital, Kerusi Roda Khas, serta Stok Susu Khas kepada beliau yang juga turut menerima bantuan dari JKM, dengan jumlah keseluruhan RM 4,999.00.

Serahan bantuan peralatan perubatan di kediaman Mohamad Saiful telah disempurnakan oleh Ustaz Muhammad Nabil Bin Mohamad Fauzi, Pengurus MUIP Cawangan Daerah Rompin.

Semoga bantuan yang diterima sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang dihadapi oleh Encik Saiful sekeluarga, dalam menjalani kehidupan harian mereka.