ROMPIN. 01 Jun 2023 – Ahmad Iman Hadif Bin Mohamad Ridzuan, 2 seorang bayi yang menderita penyakit Kanser Mata Tahap 5 (Retinoblastoma Stage E) telah disantuni oleh pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin bertempat di kediaman keluarganya yang terletak di Kampung Perepat.

Adik Iman Hadif yang pada mulanya dilahirkan dalam keadaan normal, kini perlu menjalani rawatan dan pemeriksaan berkala bagi penyakitnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu secara bulanan.

Menurut ibu kepada adik Iman Hadif, Puan Siti Noraziera Binti Hamdan, 29, bayi itu kini telah kehilangan mata sebelah kanan akibat penyakit kanser berkenaan dan memerlukan ubat-ubatan tambahan atas saranan doktor bagi mengawal penyakitnya.

Selain dari adik Iman Hadif, bapa kepada adik Iman Hadif iaitu Encik Ridzuan Bin Kamaruzaman, 33 yang bekerja di sebuah Kilang Sawit dengan pendapatan sederhana turut menanggung isterinya yang tidak bekerja kerana perlu menguruskan adik Iman Hadif secara sepenuh masa, disamping seorang lagi anak yang bersekolah rendah.

Prihtain dengan ujian yang menimpa, pihak MUIP telah meluluskan bantuan bulanan kepada keluarga berkenaan bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung.

Semoga Allah S.W.T memberikan kesembuhan kepada adik Iman Hadif dan mengurniakan kepada keluarganya kekuatan, kesabaran, dan ketabahan untuk menempuh ujian ini serta menggantikan ujian ini dengan nikmat yang lebih baik.