TEMERLOH. 20 Mei 2022 – Program Kembara Ziarah Kuala Senil kembali laksana pada siri ke-2 apabila telah melibatkan pelbagai agensi yang secara sukarela ingin turut serta mengembara ke pedalaman hutan belantara ke kampung yang dikenali sebagai Kuala Senil dalam kawasan Kuala Krau. Agensi yang terlibat adalah Klinik Bergerak Orang Asli di bawah pentadbiran Pejabat Kesihatan Daerah Temerloh, Jabatan Agama Islam Pahang, Perhilitan Rezab Hidupan Liar Krau dan juga Veteran ATM. Maka, seramai 24 orang telah terlibat dalam program ini dan ternyata lebih berjalan lancar berbanding kali pertama dilaksanakan. Segala kelengkapan, keperluan kendiri dan makan minum telah rapi disediakan agar program berjalan dengan baik.

Kembara ini telah merakamkan aktiviti perkhemahan selama 3hari 2malam dan perlu berjalan kaki untuk Kuala Senil adalah selama 6jam perjalanan pergi dan pulang bergantung atas proses perjalanan. Namun begitu, sepanjang perjalanan pelbagai cabaran ditempuhi dengan penuh santai tanpa sebarang keluhan kerana pengalaman seperti bukan selalu dirasai kerana padanya juga merupakan baik untuk kesihatan. Sepanjang perjalanan, menurut maklumat, banyak kampung telah dilalui kumpulan kembara namun hanya 1 kampung dapat singgah iaitu Kampung Ulu Bayik sebelum 2 jam tiba di Kuala Senil yang mana merupakan tujuan destinasi kami.

Aktiviti yang dilaksanakan dalam program kali ini adalah aktiviti ziarah penduduk Kuala Senil, memberikan sumbangan wang ringgit kepada penduduk dan juga aktiviti saringan kesihatan. Syukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya kehadiran masyarakat asli daripada pelbagai kampung begitu memberangsangkan ke Kuala Senil, tidak kira berapa jam mereka harus menapak ke Kuala Senil. Dengan sumbangan dan keramahan agensi dan penduduk kampung menjadi asbab kami diterima baik di kampung mereka. Mereka juga dijamu dengan makan dan minum yang disediakan oleh pihak urusetia program sebagai menghargai mereka dapat memberi kerjasama pada aktiviti yang dianjurkan.

Di samping itu, pihak urusetia tidak kurang hebatnya apabila sama-sama berganding menyediakan makan pagi, makan tengahari dan makan malam serta bekerjasama dalam menguruskan kelengkapan-kelengkapan perkhemahan. Kerjasama yang menakjubkan menjadikan program ini begitu bermakna di samping mengukir pengalaman begitu berharga. Oleh itu, secara ringkasnya, program ini dijayakan dengan hasil sumbangan tenaga dan kerjasama yang begitu padu daripada semua urusetia. Diharapkan jika ada kelapangan dan keinginan serta Izin daripada Allah SWT, panjang umur dan dikurniakan kesihatan baik, maka program ini bakal dilaksanakan lagi pada masa akan datang. Justeru itu juga, moga usaha ini menjadi sebahagian medium dakwah dan asbab hidayah buat bumi Kuala Senil.

#kembaradakwahmuip #muipcawtemerloh #baitulmalpahang