MUADZAM SHAH. 09 Mei 2022 – Sebaik sahaja menerima perkhabaran mengenai kematian penerima agihan zakat kategori bantuan peralatan pesakit, pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Muadzam Shah segera ke rumah beliau yang terletak di Bukit Ibam. Pada 15 Mac yang lalu, Allahyarham Zahari telah menerima sebuah kerusi roda dan satu set katil boleh laras beserta tilam PVC.
Sesi ziarah ini bertujuan memberikan kata-kata semangat kepada waris, disamping melihat sendiri situasi kehidupan seharian waris yang mungkin memerlukan bantuan atau sebaliknya. Imam Masjid An-Nahdhah, Bukit Ibam yang juga merupakan Amil Zakat Fitrah kampung itu turut hadir bersama dalam sesi ziarah tersebut.
Ini juga adalah satu bukti bahawa pihak MUIP sentiasa mengambil berat kepada golongan yang memerlukan. Sebelum beredar, tuan rumah diberikan satu set barangan keperluan asas bagi meringankan sedikit bebanan kewangannya.