ROMPIN. 13 April 2022 – Seorang saudara baharu yang menghidap penyakit kronik, telah disantuni oleh pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Daerah Rompin, dan beliau telah menerima bantuan peralatan perubatan berupa sebuah Katil Hospital Tiga Fungsi untuk kegunaan harian beliau.

Saudara baharu berkenaan, Encik Muhamad Hadi Lam Bin Abdullah menerima bantuan peralatan berkenaan yang bernilai RM 2775.00 di kediamannya di Kampung Orang Asli (KOA) Sembayan.

Beliau yang sebelum ini bekerja sebagai Pemandu Excavator kini tidak lagi mampu melakukan pekerjaannya untuk mencari nafkah bagi menyara diri, isteri, serta tujuh orang anak yang masih berada di dalam tanggungannya. Beliau telah disahkan menghidap penyakit Pneumonia atau Penyakit Paru-Paru Kronik.

Semoga Bantuan Peralatan Perubatan yang disampaikan sedikit sebanyak dapat membantu memudahkan urusan kehidupan harian beliau. Bantuan sara hidup yang selayaknya juga akan diusahakan bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh beliau dan keluarga untuk meneruskan kehidupan.