ROMPIN. 13 April 2022 – Encik Abdul Rahman Bin A. Rauf, 48 yang merupakan seorang Nelayan Sungai telah menzahirkan kesyukuran dan terima kasihnya kepada pihak Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) apabila beliau menerima bantuan peralatan berupa sebuah enjin bot 15 kuasa kuda bernilai RM 6,000.00, yang disampaikan oleh pihak MUIP Cawangan Daerah Rompin di kediamannya di Kampung Bangkong.

Beliau yang sebelum ini melakukan pekerjaan beliau berbekalkan sebuah bot fiber terpakai, serta enjin bot yang dipinjam, berdepan kesukaran untuk mencari rezeki bagi memenuhi keperluan diri dan keluarga di bawah tanggungannya apabila enjin bot yang dipinjamnya kini telah rosak.

Semoga dengan bantuan enjin bot yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu Encik Abdul Rahman untuk kembali meneruskan pekerjaan beliau seperti sediakala serta mampu membantu beliau untuk pergi ke jarak yang lebih jauh bagi meningkatkan hasil tangkapan sekaligus menambah pendapatan bagi memenuhi keperluan harian beliau dan keluarga yang berada di bawah tanggungannya.