Aiman Lim bin Abdullah

Tanpa mengenal erti kegagalan dan putus asa, Encik Aiman Lim bin Abdullah, seorang muallaf yang berasal dari Muadzam Shah telah berusaha mengubah masa hadapan yang lebih baik dan terjamin untuk keluarganya.

Penat lelah dan kegigihan beliau akhirnya telah membawa kejayaan menjadi seorang usahawan bengkel motosikal yang berjaya di Muadzam Shah. Beliau turut dinobatkan sebagai salah seorang Ikon Usahawan Asnaf Negeri Pahang pada Majlis Penganugerahan sempena Karnival Usahawan Asnaf 2018, yang telah disempurnakan oleh KDYMM Tengku Ampuan Pahang.

Menceritakan pengalamannya, beliau hampir berputus asa apabila bengkel motosikal yang diusahakan pada peringkat awal terpaksa ditutup dan berhijrah ke  Kuala Lumpur kerana karenah pelanggannya yang sentiasa berhutang sehingga menyebabkan beliau terputus modal pusingan.

Pada tahun 2015, beliau telah mencuba nasib mendapatkan bantuan bagi memulakan semula perniagaannya daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). Harapannya tidak dihampakan apabila MUIP telah meluluskan bantuan modal peralatan berjumlah RM5,942.30.

Berbekalkan dengan bantuan tersebut, beliau telah berjaya mewujudkan kembali perniagaan bengkel motosikalnya sehingga dikenali penduduk sekitar Muadzam Shah. Hasil usaha dan berkat kerajinan, beliau kini telah berjaya memperolehi pendapatan sebanyak RM8,000.00 sebulan. Di samping itu, beliau amat bersyukur kerana telah berjaya menjadi pembayar zakat perniagaan hasil daripada bantuan zakat yang telah diterima sebelum ini.

 

Nama 

Mohd Aiman Lim Bin Abdullah

Alamat Premis

Bengkel Bandar Roda Motor, No. 7, Kedai Jalan Timur, Felda Keratong 5, 26900 Bandar Tun Razak

No. Tel

010-9512529